Monday 13 March 2017

Anak Kecil Berjiwa Besar

Sepatu merahnya disarung. Sungguh dia amat selesa dengan sepatu itu walaupun harganya tidak semahal kasut berjenama lain. Air mata yang tadi menitis dikesat menggunakan tangan kirinya yang sudah oren kemerahan diinai kelmarin. Langkah diteruskan dengan laju, memang Fasha ini jalannya tangkas. Dia tidak suka berleha-leha dek menyedari masa itu emas.

Kalau ikutkan kehendaknya, harinya tidak sempurna tanpa tidur yang cukup. Namun dia memang tidak mempunyai luangan masa yang cukup untuk itu. Menyedari orang yang berjaya tidak tamak akan waktu tidur, dia harus kuat melawan segala anasir syaitan itu.

Kejayaan memang manis, tetapi perjalanannya MasyaAllah hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sebab apa? Sebab segala rancangan yang kita rencanakan tidak akan terjadi tanpa izinnya. Siapa kita ingin melawan takdir ilahi?

"Allah, aku lupa ingin kirimkan wang ke bonda!". Dia hentikan langkahnya, lalu menoleh ke arah daun pintu rumahnya yang masih terkuak. Dompetnya dibuka melihat tinggal dua helai not lima puluh ringgit malaysia dan masih berbaki dua helai satu ringgit. Dia tahu simpanannya bulan ini tidak seperti bulan sebelum kerana wang sakunya digunakan untuk keperluan lain. Maka terus diikhlaskan hatinya menyedari itu tanggungjawabnya. "InshaAllah nanti ada rezeki lain Allah nak bagi". Dia menghela dan menarik nafas panjang lalu diletakkan duit tadi di atas meja yang selalu bonda letakkan beg tangan kecil dan buku-buku yang sedang dibacanya. Kebiasaannya Fasha memang buat begitu jika bondanya tiada di rumah ketika dia ingin pulang ke bandar, kemudian nanti setibanya di rumah sewa dia akan menelefon ibunya dan menyatakan duit ada ditinggalkan di atas meja.

Memang Fasha ini bukan orang senang. Tetapi keperluan hidupnya tidak pernah tidak cukup.